TYT YANG DI-PERTUA NEGERI MELAKA RASMI PEMBUKAAN SEMULA
AEON MELAKA SHOPPING CENTRE
Ayer Keroh, Melaka, 1 November 2023 – AEON Melaka Shopping Centre dibuka semula secara rasmi hari ini. Majlis pembukaan semula ini disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka.
Majlis turut dihadiri Datuk Iskandar Sarudin, Pengerusi AEON CO. (M) BHD. serta Keiji Ono, Pengarah Urusan AEON CO. (M) BHD.
AEON Melaka Shopping Centre telah beroperasi selama 32 tahun sejak tahun 1991 dan ini merupakan projek pengubahsuaian pusat beli belah AEON yang ketiga selepas AEON Taman Maluri Shopping Centre dan AEON Alpha Angle. Projek pengubahsuaian ini mengambil masa selama 5 bulan bermula dari 2 Jun 2023.
Datuk Iskandar Sarudin, Pengerusi AEON CO. (M) BHD. berkata “AEON komited dalam memberikan perkhidmatan serta menyediakan kemudahan terbaik untuk para pelanggan. Kesemua pembaharuan yang dibuat diharapkan dapat menarik lebih ramai pelanggan tempatan dan juga pelancong yang berkunjung ke Melaka.”
Majlis diakhiri dengan penyampaian sumbangan dari Yayasan AEON Malaysia kepada tiga buah pertubuhan kebajikan iaitu Kompleks Anak Yatim Fatimah Al Zaharah, Rumah Sejahtera Paya Ikan Bukit Baru Melaka dan Pusat Aktiviti Warga Emas Bukit Pulau Melaka. Setiap pertubuhan kebajikan tersebut menerima bantuan berbentuk wang tunai sebanyak RM10,000. Penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam dan Datuk Iskandar Sarudin yang juga Presiden Yayasan AEON Malaysia.
AEON Melaka Shopping Centre dengan wajah baharu menampilkan muka bangunan atau ‘façade’ dengan identiti yang lebih segar serta landskap lebih terbuka atau alfresco. Bahagian dalam pusat membeli belah juga telah diubah suai dengan rekaan dalaman yang diberi sentuhan budaya Baba dan Nyonya.
Stor AEON pula menampilkan kemudahan Baby Room dan Mommy’s Room di tingkat satu (first floor) serta kaunter pembayaran layan diri atau self-checkout counters di pasar raya AEON di tingkat bawah (ground floor) untuk memberikan pengalaman membeli belah yang lebih selesa dan lancar kepada pelanggan.
Selain itu, AEON turut memperkenalkan dua produk jenama sendiri (house brand) yang berasal dari Jepun iaitu Inner Casual dan Home Coordy. Inner Casual (iC) ialah kedai konsep khusus bagi pakaian dalam, pakaian aktif dan pakaian kasual manakala Home Coordy pula menawarkan kelengkapan barangan rumah dan bilik tidur yang pastinya akan memenuhi keperluan dan kehendak pelanggan.
AEON Melaka Shopping Centre juga kini menyediakan tempat letak kereta tanpa tunai dan dilengkapi dengan panel solar di bahagian bumbung untuk menggalakkan penjimatan tenaga.
Penaiktarafan AEON Melaka Shopping Centre ini selari dengan falsafah AEON “Pelanggan Didahulukan” serta matlamat AEON untuk kekal relevan dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan serta memenuhi keperluan setiap generasi mengikut peredaran masa. Secara keseluruhannya, AEON Melaka Shopping Centre adalah destinasi membeli belah terbaik untuk seisi keluarga.