YAYASAN AEON MALAYSIA SUMBANG RM1 JUTA KEPADA 10 BUAH HOSPITAL MELALUI AEON CHARITY RUN 2024
Putrajaya, 28 Julai 2024 – Yayasan AEON Malaysia menyumbang RM1 juta kepada 10 buah hospital hasil kutipan dana menerusi acara larian amal AEON Charity Run 2024 yang diadakan di Anjung Floria Putrajaya.
Penganjuran AEON Charity Run 2024 diadakan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-20 Yayasan AEON Malaysia. RM1 juta yang berjaya dikumpul disalurkan ke program AEON KASiH, sebuah program oleh Yayasan AEON Malaysia yang terbaharu, bermatlamat untuk membantu golongan B40 yang memerlukan bantuan dari segi kos perubatan atau rawatan.
Hospital-hospital yang dikenal pasti ialah Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur; Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM); HUKM Cheras; Hospital Pulau Pinang; Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru; Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak; Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kelantan; Hospital Melaka; Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban dan Hospital Umum, Kuching Sarawak.
Sumbangan RM1 juta tersebut telah disampaikan oleh YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan dan Datuk Iskandar Sarudin, Presiden Yayasan AEON Malaysia. Datuk Iskandar juga telah melepaskan (flag-off) lebih dua ribu peserta yang mengambil bahagian dalam kategori fun-run sejauh 5km dan 10km yang berlangsung pada awal pagi.
YB Hannah Yeoh berkata, “Acara hari ini bukan sahaja selaras dengan hasrat Kementerian Belia dan Sukan untuk membudayakan amalan gaya hidup sihat. Peserta turut berlari sambil beramal dan menyumbang kepada inisiatif untuk rakyat yang memerlukan. Tahniah kepada Yayasan AEON Malaysia atas usaha mewujudkan AEON KASiH.”
Menurut Datuk Iskandar, “Kami sedar semakin ramai rakyat Malaysia yang mengamalkan gaya hidup sihat melalui program-program sukan dan riadah. Ini merupakan salah satu kesan positif hasil daripada usaha Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan khasnya untuk melahirkan masyarakat yang aktif dan sihat. Justeru itu, kami ingin sama-sama bergerak untuk mencapai matlamat ini. AEON Charity Run pada hari ini bukan hanya sekadar aktiviti larian, tetapi ia membawa makna yang lebih besar. Sumbangan yang disempurnakan hari ini bertujuan untuk membantu dan memastikan rawatan yang berkualiti dapat dinikmati oleh mereka yang memerlukan tanpa perlu bimbang tentang beban kos rawatan dan ubat-ubatan.”
“Tahun ini, Yayasan AEON Malaysia amat bersyukur kerana meraikan ulang tahun yang ke-20. Alhamdulillah, berkat sumbangan dan bantuan yang berterusan oleh orang ramai, pelanggan dan setiap rakan perniagaan, Yayasan AEON Malaysia setakat ini telah berjaya menyumbangkan sejumlah lebih RM22 juta kepada mereka yang memerlukan. Pada tahun ini juga, AEON menyambut ulang tahun yang ke-40. AEON berazam untuk terus memberikan pengalaman membeli belah istimewa kepada pelanggannya,” tambah beliau.
Yayasan AEON Malaysia merupakan sebuah yayasan yang bertanggungjawab melaksanakan program tanggungjawab korporat untuk AEON Group Malaysia. Melalui sokongan setiap ekosistem kumpulan AEON dan juga orang ramai, Yayasan AEON Malaysia melaksanakan inisiatif bantuan kewangan dan sokongan seperti keperluan pendidikan, perubatan, projek kemasyarakatan, bantuan mangsa bencana alam dan program-program sokongan untuk membantu golongan berpendapatan rendah mendapatkan pekerjaan.