Inisiatif kelestarian untuk negara, AEON Sayap Bagimu, kelolaan Yayasan AEON Malaysia (MAF) dirasmikan pada 15 September 2021 oleh YB Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin, Menteri Kanan – Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Aspirasi Sayap Bagimu berlandaskan semangat berjaya bersama menerusi sokongan kepada golongan yang memerlukan dalam berhadapan dengan pandemik serta kehidupan norma baharu.

Inisiatif induk ini mempunyai pelbagai cabang program kelestarian merangkumi Pendidikan, Khidmat Masyarakat, Perkembangan Sahsiah & Komunikasi Kreatif, Pembangunan IKS serta lain-lain lagi.

Berusaha merapatkan jurang pembelajaran para pelajar yang terkesan, untuk peluang setara serta dengan iltizam memperkukuhkan kesediaan mereka dalam merealisasikan hasrat menuju Malaysia maju sebagai negara digital, MAF menyumbang 2,000 unit Samsung Galaxy Tab A T295 bernilai RM1 juta tajaan AEON CO. (M) BHD.

Ianya disampaikan kepada para pelajar daripada keluarga B40 di tujuh buah negeri iaitu WP Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Negeri Sembilan, Kelantan, Perak dan Sarawak menerusi jabatan pendidikan masing-masing melibatkan 292 buah sekolah.

Inisiatif Sayap Bagimu turut menyaksikan penglibatan Telekom Malaysia Berhad (TM) menerusi Yayasan TM sebagai Rakan Utama yang menyediakan sambungan internet mudah alih unifi Mobile secara percuma selama 12 bulan. Manakala Yayasan Peneraju pula menyokong dari segi pengendalian program tuisyen percuma dalam talian selama tiga bulan menerusi YAYASAN SUKARELAWAN SISWA.

Shafie Shamsuddin, Timbalan Presiden MAF merangkap Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif AEON berkata, “Kami bersyukur dapat membantu para pelajar yang memerlukan. Prihatin akan cabaran yang dihadapi, kami bawakan Sayap Bagimu untuk manfaat golongan pelapis agar tidak keciciran. Kami menghargai sokongan oleh semua yang terlibat. Semoga usaha ini mendorong pelajar melebarkan sayap dan terbang tinggi untuk hari esok yang lebih baik.”

Seterusnya, MAF berhasrat untuk menyumbang 2,000 unit peranti elektronik lagi menerusi pengumpulan dana yang sedang giat dijalankan.

Majlis secara maya tersebut turut dihadiri oleh Dato’ Haji Pkharuddin Haji Ghazali, KPM; Datin Noryahwati Mohamad Noh, Presiden MAF; Izlyn Ramli, Pengarah, Yayasan TM; Kol. Bersekutu (PA) Ts. Mohd Muzzammil Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Peneraju; Wong Kin Lun, Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Sukarelawan Siswa; Pengarah-Pengarah Pendidikan Negeri, Pegawai-Pegawai Pendidikan Daerah, Pengetua-Pengetua, Guru-Guru, perwakilan media dan ramai lagi.

Untuk berkhidmat kepada masyarakat dengan lebih baik secara lestari dan inklusif, AEON Group Malaysia juga memohon lesen perbankan digital melalui AEON Credit Service (M) Berhad. Dijangkakan bank digital ini mampu merubah landskap dalam melebarkan sokongan kepada kumpulan yang kurang mendapat perhatian serta tidak mempunyai kemudahan perbankan.

Share This Story