AEON Rai Pemenang Peraduan Spend & Win
Johor Bahru, 1 Mei 2021
Dua pemenang bertuah berjaya membawa pulang hadiah utama peraduan Spend & Win berbentuk sebuah kenderaan Perodua Axia dan motosikal Modenas anjuran AEON CO. (M) BHD.
Menurut Pengurus Kanan AEON Wilayah Selatan, Meszakini Maserom, peraduan Spend & Win ini diadakan sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan yang sentiasa memberikan sokongan padu kepada AEON.
Ujar beliau lagi, penyertaan adalah terbuka kepada para pelanggan AEON yang membeli-belah di semua cawangan AEON Retail, AEON Mall, AEON BiG dan penyewa-penyewa ruang niaga AEON.
Pelanggan layak menyertai program ini dengan setiap pembelian RM100 ke atas dalam satu resit. Ia juga boleh disertai melalui pembelian atas talian dengan jumlah pembelian RM150 ke atas dalam satu resit. Program Spend & Win menawarkan pelbagai hadiah seperti kereta, motosikal, barang kemas, barangan elektronik dan banyak lagi hadiah-hadiah menarik dengan nilai keseluruhan berjumlah RM500,000”, tambah Meszakini.
Majlis penyerahan hadiah program Spend & Win @Johor yang diadakan di AEON Mall, Bandar Dato’ Onn di Johor Bahru merupakan sesi yang pertama. Dua hadiah utama dimenangi oleh Haziq Abd Ghaffar dan Lew Hui Ching yang masing-masing membawa pulang Perodua Axia 1.0 AV dan motosikal Modenas CT1155. Sementara itu, seramai enam orang pemenang saguhati turut membawa pulang hadiah berupa barangan kemas Tomei, Gintell dan telefon mudah alih jenama Oppo A93.
Hadiah-hadiah disampaikan oleh Yang Berhormat Tuan Haji Mazlan Bujang, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya, Johor Darul Ta’zim.
Turut hadir di majlis tersebut ialah Yang Berhormat Dato’ Haji Adib Azhari Daud, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru; Puan Zeti Zanariah Masiran, Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Johor Bahru, Zon Setia Austin; serta ASP Tuan Mazlan Murshidi, Ketua Balai Polis Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru.
AEON akan mengumumkan lima lagi pemenang hadiah utama di lima lokasi yang berlainan di mana peserta yang menyertai program Spend & Win masih berpeluang untuk memenangi hadiah utama iaitu sebuah kenderaan, sebuah motosikal dan hadiah-hadiah menarik yang lain.
Program Spend & Win yang bermula pada 23 Disember 2020 ini akan berakhir pada 19 September 2021.