AEON CO. (M) BHD. (AEON) hari ini melancarkan ‘Kempen Beli Barangan Malaysia’ atau ‘KBBM 2021@AEON’ dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

KBBM menyasarkan manfaat untuk dinikmati secara terus oleh para pengguna melalui penawaran harga istimewa bagi barangan keluaran tempatan. Ini pastinya membantu di dalam keadaan sekarang di mana ramai yang terkesan dengan pandemik COVID-19 mengakibatkan penurunan kuasa membeli.

KBBM juga bertujuan untuk membantu meningkatkan jualan produk pengusaha-pengusaha tempatan bagi memperkukuhkan operasi perniagaan dan sekali gus menjana pembangunan ekonomi negara.

Shafie Shamsuddin, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif AEON berkata, “Kami sangat bersyukur menjadi sebahagian daripada KBBM. Selain dari membantu rakyat, ianya juga turut memupuk semangat patriotisme dan cintakan barangan tempatan. Tempias manfaat perasaan kecintaan terhadap barangan tempatan berkualiti akan membawa kepada permintaan yang lebih tinggi dan meningkatkan daya pengeluaran, seterusnya merancakkan lagi aktiviti ekonomi negara.”

Dengan peningkatan pengeluaran, reaksi rantaian akan turut mewujudkan peluang-peluang pekerjaan. Menerusi pekerjaan dan pendapatan yang stabil, ianya membolehkan kehidupan yang harmoni lagi progresif serta komuniti yang mampan.

Kesemua 56 cawangan AEON Stor dan AEON BiG di seluruh negara terlibat dengan KBBM 2021@AEON. Ianya menawarkan pelbagai produk menarik dengan harga yang berpatutan berlangsung dari pertengahan Ogos sehingga hujung tahun ini.

Majlis pelancaran secara maya itu disempurnakan oleh Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam Haji Ahmad, Ketua Setiausaha, KPDNHEP. Ianya turut dihadiri oleh jemputan yang terdiri daripada pihak pengurusan dan kakitangan KPDNHEP, AEON, AEON BiG, Syarikat Faiza Sdn. Bhd., Delima Oil Products Sdn. Bhd., KHIND Marketing (M) Sdn. Bhd, Aleesya Batik Solutions, The Flickstore, perwakilan media dan ramai lagi.

Share This Story