AEON Mall Berkolaborasi Dengan Fazura Perkenal Corak ‘Gemirang Raya’ Khas Untuk Pelanggan
Kuching, 1 April 2023 – AEON Mall berkolaborasi bersama selebriti terkenal Fazura untuk menghasilkan koleksi tudung Fazura yang eksklusif dan terhad, khas untuk pelanggan yang berbelanja di AEON MALL.
Pelanggan AEON MALL kini berpeluang untuk menebus koleksi terhad Black Label oleh Fazura dengan perbelanjaan sebanyak RM680 (ahli AEON) dan RM880 (bukan ahli AEON) dalam gabungan 3 resit maksimum pada hari yang sama bermula 15 Mac hingga 24 April nanti. Perbelanjaan perlu dilakukan di kedai atau butik yang berada di dalam AEON MALL.
Koleksi tudung yang dihasilkan melalui kolaborasi ini dikenali sebagai ‘Gemirang Raya’ (Black Label) hanya akan dikeluarkan sebanyak 5,000 unit sahaja. Penebusan boleh dilakukan di seluruh cawangan AEON MALL di Malaysia kecuali di AEON Taman Universiti Shopping Centre, AEON Permas Jaya Shopping Centre, AEON Taman Equine Shopping Centre dan AEON Melaka Shopping Centre.
Majlis pelancaran yang diadakan di AEON Mall Kuching Central, Sarawak telah disempurnakan oleh Fazura bersama wakil AEON Mall, Nikki Lee selaku Ketua Pemasaran Pusat Membeli Belah, Gig Dan Pengurusan AEON Mall. Para pengunjung juga berkesempatan bertemu dengan Fazura dalam sesi beramah mesra.
Kolaborasi ini merupakan salah satu usaha AEON Mall menghargai kesetiaan pelanggannya dengan menyediakan sesuatu yang istimewa untuk mereka. Di samping dapat memeriahkan lagi suasana Aidilfitri yang bakal menjelang, inisiatif ini juga dilihat sebagai salah satu sokongan kepada para usahawan tempatan untuk memperluaskan peluang perniagaan mereka.