AEON MEMETERAI PERJANJIAN KOLEKTIF PERTAMA DENGAN KESATUAN PEKERJA-PEKERJA AEON CO. (M) BHD.

Kuala Lumpur, 25 Julai 2024 – AEON CO. (M) BHD atau AEON memeterai Perjanjian Kolektif Pertama dengan Kesatuan Pekerja-Pekerja AEON CO. (M) BHD. bertempat di AEON Hall, AEON Mall Shah Alam.

Perjanjian Kolektif tersebut telah ditandatangani oleh Tsugutoshi Seko, Timbalan Pengarah Urusan AEON, Dr. Kasuma Satria bin Mat Jadi, Ketua Pegawai Sumber Manusia AEON, Hamidah Mohamad, Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja AEON CO. (M) BHD., dan Muhammad Fadhli Muhammad Zamsuri, Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-Pekerja AEON CO. (M) BHD. Hadir menyaksikan pemeteraian perjanjian tersebut ialah YB Steven Sim Chee Keong, Menteri Sumber Manusia, Haji Mohd Asri Abdul Wahab, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal, Presiden UNI-MLC, dan Naoya Okada, Pengarah Urusan AEON.

Selain faedah insuran, tuntutan cuti, dan bonus, Perjanjian Kolektif ini turut menyenaraikan faedah yang ditambah baik seperti penambahan pelarasan gaji dan kadar minimum kenaikan gaji bagi ahli kesatuan serta cuti keagamaan bagi pekerja yang bekerja lebih dari 15 tahun ke atas.

Pada majlis tersebut, Naoya Okada, Pengarah Urusan AEON, menyatakan rasa positif beliau terhadap perjanjian tersebut. Menurut beliau, ini merupakan satu lagi pencapaian AEON yang penting seiring dengan ulang tahun AEON yang ke-40 tahun ini. Ia juga tidak akan terlaksana tanpa sokongan khasnya dari Kementerian Sumber Manusia.

“Inisiatif AEON dalam melaksanakan perjanjian ini juga membuktikan AEON sebagai majikan yang bertanggungjawab menyediakan tempat kerja yang inklusif. Kami akan terus memberi tumpuan kepada latihan dan pembangunan pekerja, memastikan persekitaran yang selamat dan berkembang maju untuk semua,” ulas Naoya.

Datuk Mohamed Shafie BP Mammal mengucapkan tahniah kepada kepimpinan AEON CO. (M) BHD. kerana memberikan pengiktirafan sukarela ke atas penubuhan Kesatuan Pekerja-pekerja AEON CO. (M) BHD. dalam tempoh tidak sampai sebulan. “Perkembangan ini merupakan satu sejarah dalam landskap pergerakan kesatuan sekerja di Malaysia kerana pengiktirafan diberikan dalam tempoh singkat, tanpa pertikaian.”

Dr. Kasuma Satria berkata, “Dalam melaksanakan komitmen untuk terus berdaya saing dalam industri peruncitan negara, AEON tidak akan meminggirkan soal kebajikan terhadap pekerjanya. Kami sedar bahawa pekerja merupakan aset syarikat yang paling bernilai. Perjanjian ini membentuk persefahaman yang lebih kukuh antara majikan dan pekerja, sekali gus menggalakkan kerjasama dan sokongan yang lebih baik untuk mencapai usaha AEON menjadi syarikat peruncitan Malaysia yang menawarkan pengalaman membeli belah yang istimewa kepada setiap pelanggan.”

“AEON sentiasa mempraktikkan amalan sumber manusia yang berkesan. Program yang kami gerakkan adalah secara menyeluruh yang merangkumi aspek kebajikan, kesejahteraan, dan pembangunan pekerja kami. Setiap warga AEON akan berpeluang menikmati proses pembangunan kerjaya, bermula dari awal pekerjaan hinggalah selepas persaraan mereka,” tambah beliau.

Program dan inisiatif kebajikan serta pembangunan pekerja yang telah dijalankan oleh AEON antaranya termasuk Program Pelatih Pengurusan Runcit, Program Pelatih di Jepun, Anugerah Long Service Award, Program Pekerja Golongan Kelainan Upaya, dan Asia Youth Leaders. Sementara itu, AEON turut menubuhkan Kelab Rasa Sayang bagi kesinambungan aktiviti warga AEON yang telah mencapai umur 50 tahun dan yang telah bersara.

Sehingga Jun tahun ini, AEON mempunyai seramai lebih 10 ribu orang tenaga pekerja yang berada di 28 AEON Mall, 35 AEON Stor, 7 MaxValu, 62 AEON Wellness, dan 44 DAISO di seluruh negara.

Share This Story

Get to know AEON

Media Relations

Media representatives, we’d love for you to get in touch. Let’s get to know each other better.

Corporate Fact Sheet

Discover all the important facts about the AEON Corporation.

Our History

It’s been a long and rewarding journey from our humble start in Japan to being one of Malaysia’s leading retailers.

Meet Our Leaders

An organisation is only as good as the people within in. The AEON Leadership Council operates with a clear vision to dedicate themselves to improving the lives of our customers.