AEON BiG Malaysia Sdn Bhd (AEON BiG) tampil berganding bahu bersama komuniti menyalurkan bantuan selain membuka semula Pasar Raya Besar AEON BiG Shah Alam.
Prihatin akan nasib mangsa banjir, AEON BiG Malaysia Sdn Bhd (AEON BiG) tampil berganding bahu bersama komuniti menyalurkan bantuan selain membuka semula Pasar Raya Besar AEON BiG Shah Alam di Seksyen 23 di sini, yang turut terjejas dengan bencana itu bagi memudahkan mangsa banjir mendapatkan barangan keperluan.
Ketua AEON BiG, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed berkata, dalam membantu mereka yang terkesan, pihak pengurusan memastikan bekalan barangan keperluan di kesemua rangkaian pasar raya besar AEON BiG dan pasar raya AEON di seluruh negara mencukupi.
“Walaupun AEON BiG Shah Alam turut terjejas akibat banjir dan terpaksa ditutup tetapi rangkaian pasar raya besar AEON BiG, AEON serta MaxValu yang lain masih beroperasi. “Kami membekalkan barangan keperluan ini kepada badan bukan kerajaan (NGO), organisasi swasta dan badan korporat yang membeli untuk disalurkan kepada mangsa banjir. “Kami turut memberikan diskaun istimewa tanpa terlalu berkira tentang keuntungan,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Sinar Harian pada Khamis.
Sementara itu, untuk langkah seterusnya pihaknya akan memastikan stok barangan elektrik yang dijual mencukupi mengambil kira keadaan mangsa banjir yang memerlukan peralatan dalam rumah yang rosak akibat banjir.
AEON menerusi Yayasan AEON Malaysia (MAF) juga menggerakkan bantuan kepada komuniti yang terjejas dengan mendapatkan barang keperluan di rangkaian pasar raya besar AEON BiG dan pasar raya AEON sebelum mengagihkannya sejak Ahad lalu. Kami membantu menerusi keseluruhan ekosistem.
Kami juga berusaha untuk membuka pasar raya besar AEON BiG Shah Alam secepat mungkin bagi memudahkan mangsa banjir di sekitarnya mendapatkan barangan keperluan,” katanya.