AEON BERKOLABORASI DENGAN OMAR & HANA PERKENALKAN LIMA PILIHAN ONIGIRI UNTUK KANAK-KANAK
Makanan berkhasiat dari Jepun berperisa enak dimeriahkan oleh watak animasi Omar Hana
Kuala Lumpur, 14 Mei 2022
AEON CO. (M) BHD. atau AEON berkolaborasi dengan kumpulan animasi Omar dan Hana yang sangat sinonim dengan konten video Islamik di kalangan kanak kanak melancarkan perisa baharu dalam rangkaian produk onigiri. Majlis pelancaran tersebut telah berlangsung di AEON Mall Shah Alam, Selangor.
Terdapat 5 perisa yang diperkenalkan untuk pasaran kanak kanak dan turut diwakili oleh watak di dalam animasi Omar & Hana. Kacang Merah (Red Bean) diwakili oleh Omar, Kacang dan Coklat (Choco Peanut) diwakili oleh Hana, Kentang dengan mayonis (Potato Mayo) diwakili oleh Sara, Tuna dengan mayonis (Tuna Mayo) diwakili oleh Yuki dan Ketam dengan mayonis (Kani Mayo) diwakili oleh Indra.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Sunny Setiawan, Ketua Pegawai Operasi AEON CO. (M) BHD.; Dr Kasuma Satria, Ketua Pegawai Sumber Manusia AEON CO. (M) BHD.; Sinan Ismail, CEO & Pengasas Digital Durian dan Izrol Izuddin Ahmad, Pengurusan IP Tempatan & Pembangunan Perniagaan Astro.
Menurut Sunny Setiawan, “Kami bersyukur kerana dapat bekerjasama dengan kumpulan animasi terkenal Omar & Hana untuk memasarkan rangkaian onigiri dengan perisa terbaharu kami. Usaha sama ini merupakan salah satu langkah AEON untuk menggiatkan pembangunan produk asimilasi Malaysia-Jepun dan kami yakin produk ini mampu mendapat sambutan yang baik dari para pelanggan AEON dan peminat Omar & Hana sendiri,”
Pemilihan produk onigiri sebagai pencetus kolaborasi ini juga adalah bertujuan untuk memperkenalkan budaya makan makanan sihat dan berkhasiat di kalangan kanak-kanak di Malaysia. Onigiri juga merupakan makanan dari Jepun yang bukan sahaja boleh dimakan segera malah mengenyangkan. Justeru, AEON ingin membawa corak dan budaya pemakanan yang sihat ini di negara kita.
‘Kami ingin jadikan AEON sebagai duta kecil Jepun di Malaysia yang dapat memperkenalkan dengan lebih dekat budaya positif masyarakat Jepun. Produk yang akan dihaslkan oleh AEON Delicatessen ini juga adalah disahkan halal oleh JAKIM.’ ujar beliau lagi.
Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran maskot Omar dan Hana yang mempromosikan rangkaian onigiri tersebut serta aktiviti kuiz bersama pengunjung. Tetamu yang hadir turut dihiburkan dengan tayangan perdana video dan lagu onigiri Omar & Hana.
Menurut Sinan Ismail pula, “Bagi melaksanakan kerjasama ini, kami ingin memperkenalkan makanan yang berkhasiat dan senang dimakan oleh kanak-kanak. Kami yakin onigiri adalah produk yang paling tepat. Ianya berasal dari Jepun dan merupakan antara makanan yang amat digemari waktu kini,”
“Kami juga berasa amat bertuah dapat berkolaborasi dengan pihak AEON, sebuah syarikat yang mempunyai rangkaian pasar raya yang luas. Melalui rangkaian ini, sudah tentu onigiri Omar & Hana dapat dinikmati oleh ramai pelanggan di seluruh negara, bukan sahaja kanak kanak, malah orang dewasa.” ujar beliau.
Kolaborasi ini adalah sejajar dengan usaha AEON yang memperjuangkan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 8 – Kerjaya Yang Baik dan Pertumbuhan Ekonomi – yang memberi tumpuan ke arah menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan, pekerjaan yang menyeluruh, baik lagi produktif kepada semua.