AEON SERTAI INISIATIF KAD PRABAYAR PRIHATIN PENJAJA DAN PENIAGA MALAYSIA DAN APLIKASI IN2NIAGA

AEON CO. (M) BHD. dan AEON BiG (M) SDN. BHD. atau AEON meluaskan keberkesanan perkhidmatan di dalam industri peruncitan dengan menjadi syarikat peruncit bagi inisiatif Kad Prabayar Prihatin Penjaja dan Peniaga Malaysia serta aplikasi IN2NIAGA untuk para penjaja dan peniaga kecil di Malaysia.

Inisiatif tersebut merupakan kerjasama antara Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Malaysia, In2Niaga Sdn. Bhd., AEON Credit Service (M) Berhad dan Visa Malaysia.

Kad ini menggabungkan ciri-ciri kad tanpa tunai dan kad keahlian AEON bagi memastikan transaksi urusniaga yang lebih selamat, pantas dan bijak. Ia juga memberi peluang kepada penjaja dan peniaga kecil untuk melakukan pembelian secara pukal di AEON BiG dengan pelbagai pilihan dan nilai yang hebat.
Selain mendapat ganjaran mata untuk setiap RM1 yang dibelanjakan di cawangan-cawangan AEON, pemegang kad juga di masa akan datang akan menikmati pelbagai manfaat lain seperti pengumpulan mata ganjaran apabila berbelanja di luar rangkaian AEON, stesen-stesen minyak dan platform-platform e-dagang terpilih.

Pemegang kad juga mempunyai fleksibiliti untuk membuat pembayaran barangan dan perkhidmatan di lebih daripada 120,000 pedagang Visa di Malaysia dan lebih daripada 70 juta lokasi pedagang Visa di seluruh dunia.

Aplikasi IN2NIAGA pula mengintegrasikan pelbagai mod pembayaran antaranya ialah GrabPay, Boost, TnG e-Wallet, Maybank QR, ShopeePay, Lazada Wallet, kad kredit, kad debit dan juga perbankan atas talian (FPX).

Menurut Shafie Shamsuddin, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif, AEON, ”Kami merasa amat bersyukur kerana dapat turut sama menyertai program ini dan menjadi salah sebuah peruncit yang dapat memberikan nilai tambah melalui Kad Prabayar Prihatin Penjaja dan Peniaga Malaysia serta aplikasi IN2NIAGA ini. Kami yakin kemudahan ini dapat dimanfaatkan oleh para penjaja dan peniaga kecil yang mendapatkan bekalan di cawangan-cawangan AEON dan AEON BiG di seluruh negara.”

Tambah Shafie lagi, “Di AEON, kami sentiasa berusaha untuk membantu memperkasakan lagi keupayaan para peniaga tempatan khasnya menerusi platform digitalisasi dan kami akan terus memberikan sayap untuk mereka terbang tinggi dan terus berjaya. Usahasama ini amatlah bertepatan dan strategik bagi mencapai matlamat tersebut.”

Majlis Pelancaran Kad Prabayar Prihatin Penjaja dan Peniaga Malaysia serta Aplikasi IN2NIAGA yang diadakan di AEON Mall AU2, Setiawangsa pada 27 November 2021 dirasmikan oleh Tan Sri Noh Omar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan teks ucapan perasmian dibacakan oleh Datuk Haji Zamri Salleh, Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Dato’ Parang Abai @ Thomas, Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Wilayah Persekutuan; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Haji Mahadi Che Ngah; Ng Eng Kiat, Pengerusi AEON Credit Service (M) Berhad; Daisuke Maeda, Pengarah Urusan, AEON Credit Service (M) Berhad; Shafie Shamsuddin, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif, AEON; Dato’ Seri Haji Rosli Sulaiman, Presiden, Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Malaysia dan ramai lagi.

“AEON telah beroperasi selama 37 tahun di Malaysia dan mempunyai rangkaian pembekal yang luas. Justeru itu, kami mengalu-alukan para peniaga untuk sama-sama menyertai program ini dan mendapat manfaat daripada ekosistem kesetiaan AEON,” akhiri Shafie.

Tambahan lagi, melalui pengalaman selama beberapa dekad di dalam industri peruncitan dan hasil kejayaan Kaizen Mobile Intelligence (Ka-MI), yang merupakan pendekatan strategik AEON untuk menyampaikan rantaian nilai runcit yang lengkap dan bersepadu dalam satu revolusi ekosistem, yang dilancarkan tahun lepas, AEON turut memperkasakan komuniti menerusi platform dan aplikasi perniagaannya seperti POS, e-dagang, program kesetiaan, gerbang pembayaran dan sebagainya yang boleh memanfaatkan para penjaja dan peniaga kecil dengan kos yang rendah lagi fleksibel secara harian atau bulanan.

Inisiatif ini adalah sejajar dengan usaha AEON untuk memperjuangkan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 12 – Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab, yang memberi tumpuan ke arah memastikan corak penggunaan dan pengeluaran yang mampan. Ia juga untuk memastikan penggunaan sumber yang baik, meningkatkan kecekapan tenaga, infrastruktur yang mampan, dan menyediakan akses kepada perkhidmatan asas, kelestarian dan memastikan kualiti hidup yang lebih baik untuk semua.

Share This Story

Get to know AEON

Media Relations

Media representatives, we’d love for you to get in touch. Let’s get to know each other better.

Corporate Fact Sheet

Discover all the important facts about the AEON Corporation.

Our History

It’s been a long and rewarding journey from our humble start in Japan to being one of Malaysia’s leading retailers.

Meet Our Leaders

An organisation is only as good as the people within in. The AEON Leadership Council operates with a clear vision to dedicate themselves to improving the lives of our customers.