AEON SAMBUT HARI MERDEKA MENERUSI TELEMOVIE “KITA MERDEKA”

Zahirkan tanda penghargaan kepada semua kakitangan barisan hadapan dan petugas AEON dalam menangani cabaran wabak COVID-19

Kuala Lumpur, 24 Ogos 2020 

Sambutan Hari Kebangsaan yang ke-63 memberi makna mendalam kepada seluruh rakyat Malaysia walaupun kita masih berdepan dengan wabak Covid-19. Bagi menghidupkan lagi semangat patriotisme di seluruh negara, AEON Retail Malaysia akan menayangkan telemovie “Kita Merdeka” sebagai tanda penghormatan dan penghargaan kepada barisan petugas hadapan; termasuklah mereka yang bekerja di dalam produk dan perkhidmatan penting.

Menurut Shafie Shamsuddin, Ketua Pegawai Eksekutif AEON Retail Malaysia, telemovie ini merupakan salah satu projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan tanda penghargaan AEON kepada seluruh warga kerjanya, rakan kongsi, pembekal barangan dan seluruh ekosistem yang terlibat bertungkus lumus bekerja tanpa henti bagi memastikan barangan keperluan harian mencukupi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Kami menghargai pengorbanan yang diberikan oleh petugas barisan hadapan termasuklah pekerja kami semasa tempoh PKP dilaksanakan, dan kami memahami perasaan ahli keluarga mereka yang takut dan resah ketika mereka datang bekerja seperti biasa semasa kes COVID-19 meningkat. Justeru, telemovie ini adalah satu penghormatan kami kepada mereka yang bekerja tanpa putus bagi memastikan bekalan keperluan harian rakyat di seluruh negara sentiasa mencukupi.”, kata beliau.

Menurut beliau lagi, telemovie ini diharap dapat meniupkan semangat patriotisme di kalangan rakyat Malaysia dan menjadikan wabak COVID-19 sebagai pemangkin kepada perubahan sifat dalam diri rakyat Malaysia terutama di kalangan golongan belia dengan menyemai sifat keusahawanan dan inovatif yang boleh memberikan jalan penyelesaian kepada setiap permasalahan yang dihadapi dan secara langsung menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

“Marilah kita sama-sama meraikan Hari Kebangsaan dengan penuh semangat tanpa mengira umur, bangsa dan agama dengan melawan untuk kemerdekaan kita daripada wabak COVID-19. Seperti pepatah Melayu mengatakan bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”, tambah beliau.

Telemovie Kita Merdeka tonjol semangat cekal hadapi cabaran COVID-19

Telemovie ini berkisarkan situasi yang dihadapi oleh negara dan AEON sebagai salah satu syarikat peruncitan utama di Malaysia secara amnya, menangani konflik dan cabaran yang dihadapi sejak bermulanya pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak ini.

Ia memaparkan bagaimana pihak pengurusan berusaha menangani masalah yang dihadapi dalam memastikan rantaian bekalan stok makanan tidak terputus. Dalam masa yang sama, memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat setempat semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan oleh Kerajaan.

Telemovie ini juga berusaha menonjolkan sokongan berterusan oleh pihak pengurusan dalam memberikan motivasi dan menangani emosi pekerja ketika pandemik ini berlaku.

Selain itu, ia juga memaparkan inisiatif-inisiatif yang berjaya dilaksanakan oleh pihak AEON sepanjang tempoh PKP hingga kini antaranya termasuklah Projek Roti Putih, Projek “Personal Shopper”, Projek Berkat Ramadan, Projek AEON Rider dan banyak lagi.

Dibintangi oleh barisan pelakon handalan seperti Azlee Khairi, Elisya Sandha, Fadlan Hazmi dan Amy Mastura; telemovie “Kita Merdeka” akan bersiaran pada 29 Ogos 2020 (Sabtu) di slot Cerekarama, TV3.

Penghasilan telemovie ini turut memaparkan muzik video “Ayuh Kita Merdeka!” nyanyian Aiman Tino dan beberapa artis hasil nukilan Awi Rafael dan Newsantara bagi mengiktiraf jasa dan pengorbanan pekerja barisan hadapan termasuklah pekerja AEON dan pasaraya lain yang bertungkus-lumus memastikan keperluan harian masyarakat di seluruh negara terus dipenuhi.

Muzik video ini diharap dapat menjadi sumber inspirasi dan penguat semangat kepada mereka yang kehilangan pekerjaan mahupun menghadapi apa jua masalah yang mendatang tanpa rasa putus asa. Diharap semangat Hari Merdeka tahun ini diraikan dengan penuh makna dan “kita akan berdiri bersama-sama, bersatu menentang wabak COVID-19 tanpa rasa putus asa. Kita mesti menang!”.

Share This Story

Get to know AEON

Media Relations

Media representatives, we’d love for you to get in touch. Let’s get to know each other better.

Corporate Fact Sheet

Discover all the important facts about the AEON Corporation.

Our History

It’s been a long and rewarding journey from our humble start in Japan to being one of Malaysia’s leading retailers.

Meet Our Leaders

An organisation is only as good as the people within in. The AEON Leadership Council operates with a clear vision to dedicate themselves to improving the lives of our customers.